Sunday, March 21, 2010

Berlalulah KENANGAN..

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Insan lain pasti mahu terus mengingati kenangan lalu, khususnya kenangan manis.Kenangan manis pasti menjadi 'unforgetable moments' kerana segelintir kita ingin terus hidup dengan kenangan manis.Mungkin kenangan manis ini yang membantu mereka dalam hidup dengan secebis semangat.

Aku juga mahu terus mengingati kenangan manis,lebih-lebih lagi kenangan dengan orang yang dekat denganku, ibu bapaku, keluargaku, rakan-rakan seperjuangan di medan fisabilillah ini.Aku juga tidak pernah lupa pada insan-insan yang telah lama pergi meninggalkan aku dan keluarga.Allahyarham dan allahyarhamah yang telah lama meninggalkan dunia sementara ini dalam melayari satu perjalanan untuk menemui yang Maha Esa, Allah SWT.

Sebelum aku berbicara panjang, mahu ku menyebut nama-nama yang kusayang yang telah pergi meninggalkan aku.Walaupun yang tidak sempat kukenal lama, namn pemergian kalian meninggalkan kesan mendalam jauh di lubuk hatiku ini.Aku mengaku, tatkala berhadapan dengan kematian, jiwaku TEWAS.Tewas dalam memerangi perasaan sendiri, tewas dalam memerangkap kesedihan dan kedukaan bila menatap kematian insan tersayang.Di sinilah aku menunjukkan 'kemurahan air mata' yang aku cuba mahalkan di khalayak ramai.Bukan apa, air mata mengundang kesedihan biarpun dianggap sebagai terapi bagi jiwa.Namun, biarlah terapi itu disaksikan diriku sendiri sebagai pengubat lara, bukan sebagai tatapan selainnya, kerana 'Ia mengundang kesedihan'..

Aku berhadapan dengan kematian nenekku (sebelah ayah) yang kupanggil Tok We..Maafkan Wa sebab tidak berkesempatan bergaul rapat denganmu semasa Tok We masih ada di muka bumi ini.Lantaran ketika itu aku masih kecil, dengan masalah keluarga aku jarang sekali dipertemukan oleh abah dengan Tok We.Tetapi, aku masih ingat semasa mendapat perkhabaran kematian Tok We, aku dan Ma segera ke Kg. Sireh Bawah Lembah untuk melawat allahyarhamah.

Ya Allah, kau cucurilah segala rahmat-Mu ke atas roh nenekku.Dan, tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman.Amin..

Aku masih ingat dan akan ingat sampai bila-bila - 6 November 2000 nenek (sebelah ibu) pula yang meninggalkan aku.Aku ingat tarikhnya kerana tanggal itu adalah hari jadiku.Hari itu aku terlalu sebak, sebak yang teramat sebak kerana Nek adalah orang paling rapat denganku dari aku kecil sampai aku memasuki alam persekolahan.Aku dijaga oleh Nek dan Cek (panggilan untuk datuk) semasa ibuku menguruskan perniagaan Abah di Kuala Lumpur.Aku seringkali berada bersama mereka, mencangkul tanah, menanam ubi bersama Cek.Di waktu petang aku bermain-main di perkarangan rumah Nek dan Cek semasa Nek sedang membakar sampah dan merebus air di dapur kayu.Aduh, sungguh terkesan pemergianmu.Sebak lagi hati ini bila mengenangkan aku terjaga lewat malam kerana mahukan air milo dengan biskut merry.Maka, dengan kudratnya Nek bangun menyediakanku air milo.Aku masih tidak mahu makan, mahu juga Nek patah-patahkan biskut merry dan dicelup ke dalam air milo.Kesukaanku memang begitu, aku makan biskut merry yang dicelup lama di dalam air milo, dan apabila kembang, dikacau-kacau sehingaa hancur menjadi seperti nestum..

Ya, aku masih ingat setiap pengorbananmu Nek.Aku juga ingat Cek juga menemaniku minum lewat malam itu.

Ya Allah, sungguh terkesan pemergiannya di hatiku..

Pada suatu ketika, aku menghidap demam campak yang agak teruk.Ketika itu aku berada bersama Nek dan ibuku masih di Kuala Lumpur.Aku menangis saban malam mengenangkan ibuku yang tiada disisiu dan kesakitan daripada demam tersebut.Aku mengaku, aku seorang anak yang manja, manja dengan ibu, manja dengan Nek.Au masih ingat nek menyapu ubat daripada pinggan tanah liat yang digores-gores sehingga keluar air tanahnya untuk disapukan di bintil-bintil yang ada di seluruh badanku.Kesakitannya ku ingat lagi.Ku memanggil-manggil Ma..Ma..Ma..

Terima kasih Nek atas segala pengorbanan yang telah Nek berikan dahulu.Maaf atas kekhilafan cucumu ini yang mungkin mengguris perasaanmu.Maafkan cucumu yang nakal ini atas telinga yang tak mendengar kata, mulut yang terkasar bahasa.Andai dapat kuundurkan masa, mahu saja kudakap erat tubuhmu, mahu saja ku cium-cium pipimu.Moga senyuman menghiasi seraut wajah tua yang sentiasa berbunga-bunga di taman hatiku.Pemergianmu mengutus kerinduan yang tak terjangkau kata, usai peninggalanmu ku terpanggil-panggil nama..

Hajah Mai Kelthom Binti Abdul Raof, semoga aman rohmu di sana.Amin.

Jauhlah air mata, ku mahu mengukir kata.Jauhlah kesedihan, ku mahu mencoret kenangan..

Lama kemudian, di alam persekolahan menengah atas aku dikejutkan dengan kematian seorang rakan sekelas semasa aku di tingkatan 3 Al-Khazim.Aku mengenalinya selama setahun, dan aku masih ingat aku berada selang satu bari di sebelah kananku semasa berada di kelas 3 Al-Khazim.Namanya cukup indah, Nur Syaheera Awanis meninggalkan keluarga dan rakan-rakan pada usia yang cukup muda, 18 tahun.Ketika itu, allahyahamah berada di MRSM Kuala Terengganu.Sebak dan terkejut mendengar berita ini.Sungguh tidak disangka, rakan ang cukup dikenali ini telah meninggalkan dunia.Ya, kematian itu menjemput tidak mengenal manusia dan usianya.Wajah polosnya masih kuingat, moga senyuman manismu pengubat rindu rakan-rakanmu yang berjuang merebut redha Ilahi.Ternyata aku rindu menatap kelembutan wajahmu.

Tahun 2007 banyak menduga 'ketewasan' aku dalam memerangi air mata.Sekali lagi aku dikejutkan dengan berita kematian seorang lagi rakan yang cukup aku kenali usai berada di sekolah rendah lagi.Bayangkan, kawan yang sudah sebangku di Sekolah Kebangsaan Tapang pergi meninggalkan aku dan rakan-rakan yang lain sekelip mata sahaja.Muhd Afiq bin Zahari kembali ke rahmatullah pada tahun 2007 melalui perkhabaran seorang teman rapat, Muhammad Faris Aziz Mohd Nor.Aku kembali sebak dengan berita kematian sahabatku ini.Lalu menerpa segala kenangan-kenangan lama bersama arwah semasa di SKT mahupun di SMK Dato' Ahmad Maher.Wajah riang gembira arwah.Lagak lincahnya bersama-sama teman-teman rapat seusia masih di ingatanku.Laluan kenangan arwah bersama rakan-rakan di SKT mula menerpa satu demi satu.Kenangan yang terlihat di depan mata.Namun kurasa, sahabat-sahabat (lelaki) pasti lagi terkesan dengan pemergian arwah kerana sikap arwah yang mudah 'kamcing'.Sahabatnya (Faris Aziz) ada memberitahu aku akan sebaknya dengan pemergian arwah kerana mereka selalu berbasikal bersama-sama untuk ke SMKDAM semasa di Tingkatan 1 dulu.

Menerjah laluan kenangan, aku lalu singgah di satu sudut di mana arwah menjemput semua rakan-rakannya menyertai majlis hari jadinya yang hanya 1 meter dari pagar belakang sekolah kami dahulu.Kami duduk bersamanya sambil menikmati bihun goreng, berbual mesra, bergelak tawa bersama arwah.Ya, aku ingat lagi gelak tawamu Afiq.Pemergianmu yang sungguh mengejutkan kami kerana kemalangan jalan raya sungguh membuatkan aku hilang semangat.Pernah aku berfikir,'Siapa pula yang bakal menyusul Syaheera dan Afiq?'..

Ya Allah, kuatkanlah hatiku.Pada-Mua Ya Rabbi aku memohon kekuatan.

Masih di tahun yang sama, bergetar jiwa dan raga tatkala menerima berita pemergian bapa saudaraku, Nasir bin Ismail juga kerana kemalangan jalan raya.Ya Allah, sungguh berat kesedihan ini, juga maha berat lagi buat ibu saudaraku untuk menerima ketentuan-Mu yang sudah tersurat ini.Aku yang hanya anak saudaranya sudah mengalir laju air mata, apatah lagi ibu saudaraku yang masih mendukung anak kecil ketika suaminya sudah pergi dijemput Ilahi.Aku tertawan dengan semangatnya, aku terpukau dengan keutuhan imannya.Dan aku bertanya pada diriku,'Mampukah aku menerima sebuah kematian seorang suami jika aku sudah berkahwin nanti?Mampuka aku menguatkan semangat tatkala si suami yang amat dicintai sepenuh jiwa dan raga meninggalkan aku bersama anak-anak yang masih kecil di pangkuan?Mampukah aku??'Kekuatan sebegini kalau tidak dicari dalam diri sendiri, di mana lagi..Ketabahan secekal ini kalau tidak kerana-Mu Ya Allah, dari mana lagi mahu dipohon??

Ya Allah, tabahkanlah hati ibu saudaraku dalam membesarkan zuriatnya bersama arwah.Ringankanlah beban dibahunya, agar senang hatinya memelihara 3 anak kecil itu.Dan berikanlah kegembiraan dan ketenangan dalam wajah duka itu.Amin.

Sesungguhnya setiap yang hidup, pasti kembali pada-Nya.

Memang 2007 banyak menduga jiwaku.Guru yang rapat dengan pelajar, dikenali dan merupaka warden di asrama, Cikgu Rosidi kembali ke rahmatullah pada 16 November 2007 (seingat saya dan kalau tidak silap) saat aku berada di Kolej Mara Kulim.Berita itu dikhabarkan kepadaku semasa aku berada di dalam surau KMKu menanti waktu untuk azan maghrib.Tiba-tiba sahaja seorang rakan baikku juga dorm-mate ku menangis teresak-esak dan mengkhabarkan Cg Sidi (nama panggilan arwah) sudah tiada.Berita itu masih kurang jelas lalu kami, bekas pelajar MRSM Kuala Berang (tempat arwah berbakti) cuba menghubungi guru-guru yang lain untuk mengesahkan berita yang kami dengar.Terbukti, setelah menghubungi salah seorang warden asrama, berita itu memang sah.Cikgu yang kami sayangi, terkenal dalam kalangan pelajar sudah pergi meninggalkan kami.Kematiannya juga mengejutkan kerana arwah lemas di Air Terjun Sekayu di daerah Kuala Berang itu juga.Kesedihan itu akhirnya memboloskan air mataku, di saat berita itu disahkan.Aku masih terawang-awang dengan perasaan tidak percaya, mungkin mimpi?Ku cubit pipiku, adakah aku tersalah dengar?Igauankah ini?Ku tanya lagi,'Betulkah Cg Sidi sudah tiada?'Betul ke ni?'.Ya Allah, air mata makin tidak tertahan jadinya.Setiap satu dari golongan orang yang kusayang meninggalkanku.Dari rakan-rakan, ahli keluarga, dan ini guruku pula.

Kukagumi usahanya membantu pelajar dalam pelajaran, soal itu amat dititik beratkan.Saban malam memantau aktiviti prep pelajar-pelajar pada waktu malam.Aku sempat dibimbingi arwah semasa menjalankan projek SEM di MRSM.Dengan arwahlah aku mengenal kembali Kuala Lumpur setelah 10 tahun aku tidak menjejakinya.Ketika itu, kami satu kumpulan bersama-sama Yogeswari a/p Vasu dan Mohd Fauzi bin Khairun perlu ke Kuala Lumpur untuk menjalankan projek kami di Malaysian Institute of Nuclear Technology (MINT).Dengan arwah juga aku banyak belajar mengenai kehidupan di universiti tatkala arwah membawaku pusing 1 UM melihat keindahan universiti ibu kota itu.Lalu melonjak tinggi semangatku untuk menjejakkan kaki jauh di persada keunggulan ilmu, mencari sebanyak mana ilmu hingga menjadi orang yang berjaya.Dengan arwah jugalah aku bakar semangat dan terus menapak cemerlang dalam subjek Biologi.Dengan arwahlah, dengan Cg Sidi.Terlalu banyak kenangan, terlalu banyak pengalaman yang diajar, dididik untuk aku sebagai persediaan menjadi mahasiswa.Cikgu, aku kini seorang mahasiswa dan tidak pernah lupa dengan didikanmu.Cikgulah permata dan sinar ilmu yang menerangi setiap lurus bengkok jalan fisabilillah ini.Moga dengan didikanmu aku mampu bergerak maju, ke hadapan dengan berbekal pengalaman dan pesan nasihatmu.

Amanlah rohmu di sana, wahai guruku.Amin.

Sesungguhnya, malam ini aku sebenarnya hanya mahu bercerita mengenai kenangan pahit yang aku tidak mahu ingat, tidak mahu ia menerjah ruang fikiranku lagi.Tapi, kenangan ini pula yang terbit di mindaku sehinggakan mengingatinya membuatkan aku sekali lagi tewas.Biarlah, aku menangis seorang diri.Tidak sanggup untuk aku menahannya lagi.Sesungguhnya, mengingati kematian itu mendekatkan aku dengan penciptaku, Allah SWT.

Biarpun setiap kenangan itu mempunyai pahit dan manisnya, mahu diingat atau tidak, ia tetap sebuah kenangan.Yang tersimpan, terkunci rapi jauh di sudut hati mahupun yang masih menerawang, berlegar-legar di ruang mimpi dan hakiki..

Jangankan pula kenangan merosakkan hidupmu, dan jangan pula hidupmu dikepalai kenangan pahitmu.Binalah kenangan baru yang lebih baik, kenangan persahabatan, kenangan kekeluargaan, semoga terbina sebuah jati diri insan mulia.Kerana sebuah kenangan.

Biarkanlah yang pahit itu berlalu, andai ia dirasakan merosakkan kejituan hatimu.Namun, ingatlah pada kenangan kematian, sesungguhnya ia membawamu dekat dengan Tuhan.

Jazakallahu khairan Kathira.

Wassalam..





No comments:

Post a Comment

org bace then die nak komen..