Monday, March 22, 2010

Mana perikeMANUSIAannya?


Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Astaghfirullahal azim..

Hanya itu yang mampu aku ucapkan tatkala melihat sekujur tubuh kecil yang kesejukan kerana ditimpa hujan tanpa sedikitpun perlindungan daripada penjaganya.

Utusan Malaysia: 22 Mac 2010

Kalau semalam aku 'alah' pada berita menyedihkan, kali ini bukan lagi menyedihkan tapi menyayat hati.Sampai hati ibunya membuang bayi sekecil ini di tempat yang tidak wajar - tempat pembuangan sampah dalam keadaan yang amat memilukan.Bagaimana jika bayinya mati kesejukan, mati dimakan semut atau anjing liar??Tidakkah dia berfikir terlebih dahulu sebelum membuang bayi ini?

Subhanallah..Sungguh, lalu aku sendiri bertanya pada diriku, jika perkara sebegini berlaku lagi, apakah daya aku sebagai seorang insan yang tak tahu dan tak reti apa yang perlu aku lakukan untuk menghalang gejala seperti ini?

Bukankahperlu mencari pesalahnya?Menghukum ibunya?Maka tersenyum puas, atau hilang ghaib si bapa.Siapa salah?Siapa kalah?Siapa mengalah?Dan, siapa akhirnya yang mendapat untung?

Ini bukan lagi soal salah menyalahkan.Ini soal budaya, pokok pangkal hujung pucuknya adalah budaya sosial masa kini yang jauh tersimpang, menyimpang, terbabas dari landasan yang sepatutnya.Bukan bayi berketurunan Cina atau India yang seringkali dijumpai di tempat longgokan sampah tapi bayi berketurunan Melayu, Melayu yang pada namanya berbin dan berbinti - orang Islam!

Islam atau tidak, sudah pasti tiada lagi pegangan Islam dalam dirinya andai perbuatan sebegini sanggup dilakukan.Walau aku bukan sesiapa, ligat juga fikiranku mencari alternatif terbaik bagaimana mahu mengurangkan berita-berita sebegini terpampang di muka-muka akhbar Malaysia.Bukan kerana malu rakyat negara lain membacanya tapi sayu hati melihat tidak terkata.

Menyelesaikan masalah perlu mencari punca.Punca perlu dicari dari pangkal akarnya, bukan dari hujung pucuk ia terjadi.Akarnya apa lagi, kalau bukan pergaulan bebas.Hujung lagi, tiada pegangan agama.Dari hujung ke hujung, mencari pangkal akhirnya balik ke masalah yang sama..Pi Mai Pi Mai, Tang Tu jugak..

Dari yang aku lihat, aku fikir, ini semua kerana zina.Demikianlah disebut di dalam al-Quran, jelas dan nyata:

Dan janganlah kamu MENDEKATI zina; sesungguhnya zina itu adalah adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': Ayat 32)

Jangan kamu mendekati zina, jangan mendekati zina!Apatah lagi melakukan zina, dekat dengannya sudah dilarang.Kerana apa?Kerana dekat dengannya boleh membawa kepada zina itu sendiri.Manusia dikurnia nafsu, nafsu yang bergelodak, ditambah dengan lemahnya iman, maka terjerumuslah penzina-penzina ini dalam zina.Kerana itulah ditekankan sekali agar remaja jauhkan diri dari zina, jauhkan dari segala bentuk zina, kerana zina itu bermacam-macam jenisnya.Pangkalnya dari zina hati- isikan syaitan laknatullah, lalu jadi ada pula zina mata, tangan dan sebagainya.Mata yang melihat aurat wanita dengan nafsu serakahnya - zina juga.Tangan yang memegang kulit wanita yang mulus itu, zina juga nama.Bukan pada namanya - ZINA hanya bermaksud hubungan kelamin wanita dan lelaki tapi awal dari itu sudah dikelaskan zinanya.

Ada mulut-mulut yang bercakap tanpa ilmu berkata,"Kami tak buat apa-apa pun, pegang tangan je, main-main je pun."Ya, mula-mula main-main, lama-lama?

Diperdengarkan satu cerita:

Diriwayatkan bahawa Mursid bin Abi Marsid r.a. meminta restu Rasulullah s.a.w. untuk menikahi wanita bernama Annaq, seorang wanita pelacur yang di masa jahiliyyah pernah menjalinkan hubungan cinta dengannya.Rasulullah berpaling daripadanya hingga turun ayat berikut:

"Lelaki penzina tidak menikahi kecuali wanita penzina atau perempuan yang musyrik, dan perempuan penzina tidak dinikahi kecuali melainkan oleh lelaki penzina atau lelaki musyrik, dan demikian atas orang-orang yang beriman." (An.Nur: Ayat 3)

Dan, dari sinilah bermula segalanya.Maka, lahir seorang bayi yang tidak berdosa dan dibuang begitu sahaja dek pendek akal pemikiran ibunya.At least, letakkanlah di ruangan masjid atau terus di perkarangan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau berikanlah secara terus kepada sesiapa yang tahu baik budinya.Jangan dibuang begitu sahaj di tempat longgokan sampah, dan lebih tragis si anak kecil yang baru beberapa minit mengenal dunia dibuang ke dalam tong sampah, longkang, dibalut dengan plastik hingaa sesak nafasnya..Masya-Allah...Ya Rabbi..

Tragis lagi?Bayi yang dilahirkan normal atau tidak cukup bulan ini di'flush'kan ke dalam lubang tandas untuk menghapuskan bukti kelahiran.Bayi yang digonggong anjing liar, dimakan semut dan serangga berbisa.Mana perikemanusiaan seorang makhluk bernama manusia??Manusia yang merupakan 'khaira ummah' iaitu umat terbaik, beginikah akalnya?Inikah petunjuk betapa modennya mentaliti rakyat kita?

Yang di sini hanya mampu berdoa dan berharap agar tiada lagi, selepas ini berita sebegini keluar di muka akhbar.Tersiat-siat hati mengenangkan nasib si bayi kecil yang lemah ini.Mujurlah ada yang masih diberi peluang untuk terus hidup, tapi bagaimana pula masa depannya nanti?

Kalau aku mampu, mampu dari segi kewangan dan mampu status, aku akan memohon untuk menjaga bayi kecil ini.Biarlah apa orang nak kata, asal terbela nasibnya.Lantas tadi aku menghantar mesej kepada ibuku supaya membuat permohonan untuk mengambil anak angkat melalui JKM, tapi ibuku tidak layak kerana ibuku bukan 'civil servant'.Ku pinta pula ibuku mengemukakan cadangan ini kepada ayah tiriku yang bekerja sebagai pegawai penjara untuk mewakilkan pekerjaannya untuk mengambil anak angkat.Suatu hari nanti, bila aku sudah mampu, akan ku bela nasib bayi ini..

Wallahualam.








Sunday, March 21, 2010

Berlalulah KENANGAN..

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Insan lain pasti mahu terus mengingati kenangan lalu, khususnya kenangan manis.Kenangan manis pasti menjadi 'unforgetable moments' kerana segelintir kita ingin terus hidup dengan kenangan manis.Mungkin kenangan manis ini yang membantu mereka dalam hidup dengan secebis semangat.

Aku juga mahu terus mengingati kenangan manis,lebih-lebih lagi kenangan dengan orang yang dekat denganku, ibu bapaku, keluargaku, rakan-rakan seperjuangan di medan fisabilillah ini.Aku juga tidak pernah lupa pada insan-insan yang telah lama pergi meninggalkan aku dan keluarga.Allahyarham dan allahyarhamah yang telah lama meninggalkan dunia sementara ini dalam melayari satu perjalanan untuk menemui yang Maha Esa, Allah SWT.

Sebelum aku berbicara panjang, mahu ku menyebut nama-nama yang kusayang yang telah pergi meninggalkan aku.Walaupun yang tidak sempat kukenal lama, namn pemergian kalian meninggalkan kesan mendalam jauh di lubuk hatiku ini.Aku mengaku, tatkala berhadapan dengan kematian, jiwaku TEWAS.Tewas dalam memerangi perasaan sendiri, tewas dalam memerangkap kesedihan dan kedukaan bila menatap kematian insan tersayang.Di sinilah aku menunjukkan 'kemurahan air mata' yang aku cuba mahalkan di khalayak ramai.Bukan apa, air mata mengundang kesedihan biarpun dianggap sebagai terapi bagi jiwa.Namun, biarlah terapi itu disaksikan diriku sendiri sebagai pengubat lara, bukan sebagai tatapan selainnya, kerana 'Ia mengundang kesedihan'..

Aku berhadapan dengan kematian nenekku (sebelah ayah) yang kupanggil Tok We..Maafkan Wa sebab tidak berkesempatan bergaul rapat denganmu semasa Tok We masih ada di muka bumi ini.Lantaran ketika itu aku masih kecil, dengan masalah keluarga aku jarang sekali dipertemukan oleh abah dengan Tok We.Tetapi, aku masih ingat semasa mendapat perkhabaran kematian Tok We, aku dan Ma segera ke Kg. Sireh Bawah Lembah untuk melawat allahyarhamah.

Ya Allah, kau cucurilah segala rahmat-Mu ke atas roh nenekku.Dan, tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman.Amin..

Aku masih ingat dan akan ingat sampai bila-bila - 6 November 2000 nenek (sebelah ibu) pula yang meninggalkan aku.Aku ingat tarikhnya kerana tanggal itu adalah hari jadiku.Hari itu aku terlalu sebak, sebak yang teramat sebak kerana Nek adalah orang paling rapat denganku dari aku kecil sampai aku memasuki alam persekolahan.Aku dijaga oleh Nek dan Cek (panggilan untuk datuk) semasa ibuku menguruskan perniagaan Abah di Kuala Lumpur.Aku seringkali berada bersama mereka, mencangkul tanah, menanam ubi bersama Cek.Di waktu petang aku bermain-main di perkarangan rumah Nek dan Cek semasa Nek sedang membakar sampah dan merebus air di dapur kayu.Aduh, sungguh terkesan pemergianmu.Sebak lagi hati ini bila mengenangkan aku terjaga lewat malam kerana mahukan air milo dengan biskut merry.Maka, dengan kudratnya Nek bangun menyediakanku air milo.Aku masih tidak mahu makan, mahu juga Nek patah-patahkan biskut merry dan dicelup ke dalam air milo.Kesukaanku memang begitu, aku makan biskut merry yang dicelup lama di dalam air milo, dan apabila kembang, dikacau-kacau sehingaa hancur menjadi seperti nestum..

Ya, aku masih ingat setiap pengorbananmu Nek.Aku juga ingat Cek juga menemaniku minum lewat malam itu.

Ya Allah, sungguh terkesan pemergiannya di hatiku..

Pada suatu ketika, aku menghidap demam campak yang agak teruk.Ketika itu aku berada bersama Nek dan ibuku masih di Kuala Lumpur.Aku menangis saban malam mengenangkan ibuku yang tiada disisiu dan kesakitan daripada demam tersebut.Aku mengaku, aku seorang anak yang manja, manja dengan ibu, manja dengan Nek.Au masih ingat nek menyapu ubat daripada pinggan tanah liat yang digores-gores sehingga keluar air tanahnya untuk disapukan di bintil-bintil yang ada di seluruh badanku.Kesakitannya ku ingat lagi.Ku memanggil-manggil Ma..Ma..Ma..

Terima kasih Nek atas segala pengorbanan yang telah Nek berikan dahulu.Maaf atas kekhilafan cucumu ini yang mungkin mengguris perasaanmu.Maafkan cucumu yang nakal ini atas telinga yang tak mendengar kata, mulut yang terkasar bahasa.Andai dapat kuundurkan masa, mahu saja kudakap erat tubuhmu, mahu saja ku cium-cium pipimu.Moga senyuman menghiasi seraut wajah tua yang sentiasa berbunga-bunga di taman hatiku.Pemergianmu mengutus kerinduan yang tak terjangkau kata, usai peninggalanmu ku terpanggil-panggil nama..

Hajah Mai Kelthom Binti Abdul Raof, semoga aman rohmu di sana.Amin.

Jauhlah air mata, ku mahu mengukir kata.Jauhlah kesedihan, ku mahu mencoret kenangan..

Lama kemudian, di alam persekolahan menengah atas aku dikejutkan dengan kematian seorang rakan sekelas semasa aku di tingkatan 3 Al-Khazim.Aku mengenalinya selama setahun, dan aku masih ingat aku berada selang satu bari di sebelah kananku semasa berada di kelas 3 Al-Khazim.Namanya cukup indah, Nur Syaheera Awanis meninggalkan keluarga dan rakan-rakan pada usia yang cukup muda, 18 tahun.Ketika itu, allahyahamah berada di MRSM Kuala Terengganu.Sebak dan terkejut mendengar berita ini.Sungguh tidak disangka, rakan ang cukup dikenali ini telah meninggalkan dunia.Ya, kematian itu menjemput tidak mengenal manusia dan usianya.Wajah polosnya masih kuingat, moga senyuman manismu pengubat rindu rakan-rakanmu yang berjuang merebut redha Ilahi.Ternyata aku rindu menatap kelembutan wajahmu.

Tahun 2007 banyak menduga 'ketewasan' aku dalam memerangi air mata.Sekali lagi aku dikejutkan dengan berita kematian seorang lagi rakan yang cukup aku kenali usai berada di sekolah rendah lagi.Bayangkan, kawan yang sudah sebangku di Sekolah Kebangsaan Tapang pergi meninggalkan aku dan rakan-rakan yang lain sekelip mata sahaja.Muhd Afiq bin Zahari kembali ke rahmatullah pada tahun 2007 melalui perkhabaran seorang teman rapat, Muhammad Faris Aziz Mohd Nor.Aku kembali sebak dengan berita kematian sahabatku ini.Lalu menerpa segala kenangan-kenangan lama bersama arwah semasa di SKT mahupun di SMK Dato' Ahmad Maher.Wajah riang gembira arwah.Lagak lincahnya bersama-sama teman-teman rapat seusia masih di ingatanku.Laluan kenangan arwah bersama rakan-rakan di SKT mula menerpa satu demi satu.Kenangan yang terlihat di depan mata.Namun kurasa, sahabat-sahabat (lelaki) pasti lagi terkesan dengan pemergian arwah kerana sikap arwah yang mudah 'kamcing'.Sahabatnya (Faris Aziz) ada memberitahu aku akan sebaknya dengan pemergian arwah kerana mereka selalu berbasikal bersama-sama untuk ke SMKDAM semasa di Tingkatan 1 dulu.

Menerjah laluan kenangan, aku lalu singgah di satu sudut di mana arwah menjemput semua rakan-rakannya menyertai majlis hari jadinya yang hanya 1 meter dari pagar belakang sekolah kami dahulu.Kami duduk bersamanya sambil menikmati bihun goreng, berbual mesra, bergelak tawa bersama arwah.Ya, aku ingat lagi gelak tawamu Afiq.Pemergianmu yang sungguh mengejutkan kami kerana kemalangan jalan raya sungguh membuatkan aku hilang semangat.Pernah aku berfikir,'Siapa pula yang bakal menyusul Syaheera dan Afiq?'..

Ya Allah, kuatkanlah hatiku.Pada-Mua Ya Rabbi aku memohon kekuatan.

Masih di tahun yang sama, bergetar jiwa dan raga tatkala menerima berita pemergian bapa saudaraku, Nasir bin Ismail juga kerana kemalangan jalan raya.Ya Allah, sungguh berat kesedihan ini, juga maha berat lagi buat ibu saudaraku untuk menerima ketentuan-Mu yang sudah tersurat ini.Aku yang hanya anak saudaranya sudah mengalir laju air mata, apatah lagi ibu saudaraku yang masih mendukung anak kecil ketika suaminya sudah pergi dijemput Ilahi.Aku tertawan dengan semangatnya, aku terpukau dengan keutuhan imannya.Dan aku bertanya pada diriku,'Mampukah aku menerima sebuah kematian seorang suami jika aku sudah berkahwin nanti?Mampuka aku menguatkan semangat tatkala si suami yang amat dicintai sepenuh jiwa dan raga meninggalkan aku bersama anak-anak yang masih kecil di pangkuan?Mampukah aku??'Kekuatan sebegini kalau tidak dicari dalam diri sendiri, di mana lagi..Ketabahan secekal ini kalau tidak kerana-Mu Ya Allah, dari mana lagi mahu dipohon??

Ya Allah, tabahkanlah hati ibu saudaraku dalam membesarkan zuriatnya bersama arwah.Ringankanlah beban dibahunya, agar senang hatinya memelihara 3 anak kecil itu.Dan berikanlah kegembiraan dan ketenangan dalam wajah duka itu.Amin.

Sesungguhnya setiap yang hidup, pasti kembali pada-Nya.

Memang 2007 banyak menduga jiwaku.Guru yang rapat dengan pelajar, dikenali dan merupaka warden di asrama, Cikgu Rosidi kembali ke rahmatullah pada 16 November 2007 (seingat saya dan kalau tidak silap) saat aku berada di Kolej Mara Kulim.Berita itu dikhabarkan kepadaku semasa aku berada di dalam surau KMKu menanti waktu untuk azan maghrib.Tiba-tiba sahaja seorang rakan baikku juga dorm-mate ku menangis teresak-esak dan mengkhabarkan Cg Sidi (nama panggilan arwah) sudah tiada.Berita itu masih kurang jelas lalu kami, bekas pelajar MRSM Kuala Berang (tempat arwah berbakti) cuba menghubungi guru-guru yang lain untuk mengesahkan berita yang kami dengar.Terbukti, setelah menghubungi salah seorang warden asrama, berita itu memang sah.Cikgu yang kami sayangi, terkenal dalam kalangan pelajar sudah pergi meninggalkan kami.Kematiannya juga mengejutkan kerana arwah lemas di Air Terjun Sekayu di daerah Kuala Berang itu juga.Kesedihan itu akhirnya memboloskan air mataku, di saat berita itu disahkan.Aku masih terawang-awang dengan perasaan tidak percaya, mungkin mimpi?Ku cubit pipiku, adakah aku tersalah dengar?Igauankah ini?Ku tanya lagi,'Betulkah Cg Sidi sudah tiada?'Betul ke ni?'.Ya Allah, air mata makin tidak tertahan jadinya.Setiap satu dari golongan orang yang kusayang meninggalkanku.Dari rakan-rakan, ahli keluarga, dan ini guruku pula.

Kukagumi usahanya membantu pelajar dalam pelajaran, soal itu amat dititik beratkan.Saban malam memantau aktiviti prep pelajar-pelajar pada waktu malam.Aku sempat dibimbingi arwah semasa menjalankan projek SEM di MRSM.Dengan arwahlah aku mengenal kembali Kuala Lumpur setelah 10 tahun aku tidak menjejakinya.Ketika itu, kami satu kumpulan bersama-sama Yogeswari a/p Vasu dan Mohd Fauzi bin Khairun perlu ke Kuala Lumpur untuk menjalankan projek kami di Malaysian Institute of Nuclear Technology (MINT).Dengan arwah juga aku banyak belajar mengenai kehidupan di universiti tatkala arwah membawaku pusing 1 UM melihat keindahan universiti ibu kota itu.Lalu melonjak tinggi semangatku untuk menjejakkan kaki jauh di persada keunggulan ilmu, mencari sebanyak mana ilmu hingga menjadi orang yang berjaya.Dengan arwah jugalah aku bakar semangat dan terus menapak cemerlang dalam subjek Biologi.Dengan arwahlah, dengan Cg Sidi.Terlalu banyak kenangan, terlalu banyak pengalaman yang diajar, dididik untuk aku sebagai persediaan menjadi mahasiswa.Cikgu, aku kini seorang mahasiswa dan tidak pernah lupa dengan didikanmu.Cikgulah permata dan sinar ilmu yang menerangi setiap lurus bengkok jalan fisabilillah ini.Moga dengan didikanmu aku mampu bergerak maju, ke hadapan dengan berbekal pengalaman dan pesan nasihatmu.

Amanlah rohmu di sana, wahai guruku.Amin.

Sesungguhnya, malam ini aku sebenarnya hanya mahu bercerita mengenai kenangan pahit yang aku tidak mahu ingat, tidak mahu ia menerjah ruang fikiranku lagi.Tapi, kenangan ini pula yang terbit di mindaku sehinggakan mengingatinya membuatkan aku sekali lagi tewas.Biarlah, aku menangis seorang diri.Tidak sanggup untuk aku menahannya lagi.Sesungguhnya, mengingati kematian itu mendekatkan aku dengan penciptaku, Allah SWT.

Biarpun setiap kenangan itu mempunyai pahit dan manisnya, mahu diingat atau tidak, ia tetap sebuah kenangan.Yang tersimpan, terkunci rapi jauh di sudut hati mahupun yang masih menerawang, berlegar-legar di ruang mimpi dan hakiki..

Jangankan pula kenangan merosakkan hidupmu, dan jangan pula hidupmu dikepalai kenangan pahitmu.Binalah kenangan baru yang lebih baik, kenangan persahabatan, kenangan kekeluargaan, semoga terbina sebuah jati diri insan mulia.Kerana sebuah kenangan.

Biarkanlah yang pahit itu berlalu, andai ia dirasakan merosakkan kejituan hatimu.Namun, ingatlah pada kenangan kematian, sesungguhnya ia membawamu dekat dengan Tuhan.

Jazakallahu khairan Kathira.

Wassalam..





Lama tak mendengar lagu ini,malam ini ia berkumandang di biliku


Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Permata Untuk Isteri

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku


p/s: Lagu ini mengembalikan ingatanku pada novel yang baru sahaja aku baca, Samudera Indah Nian

Thursday, March 18, 2010

Minda berputar-putar

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Nak ke tak nak?Aku tertanya-tanya sama ada perlu ke tak perlu, mahu ke tak mahu, boleh ke tak boleh.Kalau aku fikirkan boleh ke aku, memang boleh.Ini masalahnya mahu ke tak mahu.Kemahuan memang nak, lama dah nak tapi dulu nak ambil rasa macam rugi tinggalkan bidang yang selama ini aku dah sebati dengannya.

Sejak akhir-akhir ini, asyik sungguh aku memikirkan tentang pelbagai masakan dan makanan yang mahu disediakan tatkala cuti semester akhir yang bakal menjelang (final exam belum lagi datang, sudah sibuk memikirkan menu di rmah nanti).Aku ketagih, ketagih memasak dan memasak dan memasak.Rimas makan makanan masakan orang, resah gelisah badan bila tak dapat menyediakan makanan sendiri.

Penyakit apakah ini?

Tiba-tiba teringatkan minat yang sudah lama aku pendamkan di ceruk dapur rumahku di Kelantan.Mulalah terfikir balik kenapa tak ambil bidang Seni Kulinari semasa nak isi borang universiti dulu.Takpe lah Fazween, bukan rezeki lagi nak dalami bidang tu.Lagipun, hati terbelah dua, berbelah 4 dan 8 memikirkan mana yang mahu dipilih dulu.Minat atau keprluan semasa?Minat mendalam dalam seni masakan tapi memikirkan masa depan aku sekarang menjurus kepada bidang Sains dan lebih-lebih lagi Sains berkaitan biologi.Maka, dengan itu adanya aku di UKM memegang staus pelajar jurusan Sains Zoologi.

Apabila aku bertemu ramai orang, kenalan baru, kenalan lama yang baru berjumpa semula, auntie di Pasaraya Giant semasa pilih-pilih carrot, saudara-saudara di kampung.Ayat yang selalu ditanya dan rimas tekak ingin menjawabnya:

Ewa, amik godio namo di u-k-eng tuh? (versi Kelantan)

Haa, what course you're taking now? (versi auntie di Giant)

Aween, lama tak jumpa!Amik kos ape di UKM? (versi kawan lama)

Walau apapun versinya, aku menjawab dengan senang hati.

Versi Kelantan:
Wa amik koh Sains Zoologi di u-k-eng tuh.Oloh, pasa kaji nate ni.Gitu la.
-- Oooooo, gak pah ni kijo guano?Di zoo ko?
Hurmmmmm..(Gaya mengiakan saja)

Versi auntie Giant:
Owh, yaa..Kaji haiwan-haiwan la ni..Bagus2..Auntie punya anak dah habis dah belajar.Sekalang kerja di Astro.Kenal x anak mak cik??Dia sekalang jadi producer AF tu, yang program nyanyi2 tu..
--Ok, auntie.Err, x kenalla anak auntie.AF pun saya tak tengok.Saya 'anti' la auntie.

Versi kawan lama:
Geologi?
--Zoologi laa (pekak daa)
Ooooo, zooolooogiii.Best ke amik tu?Belajar macam mana?Ok ke x?

Muka aku dah bertambah cuak mendengar pelbagai pertanyaan yang seakan-akan aku tidak mahu menjawabnya buat kali yang ke berapa ratus dah.Cuak bila orang mula tanya,

"Minat ko bendo gitu?"

Arrggghhh, please!!Don't ask me that kinda of question anymore!I really got tired of answering the same, and same, and same question that you never wanna understand.

Haaa, kan dah keluar bahasa 'omputes'..

Tatkala keluar je soalan sebegitu, aku dah naik muak nak jawab sebab>>

Aku tak tahu nak jawab apa!!!!

Minat ke? --Tak sangat.
Kenapa amik? --Ntah, rezeki.
Tak tanya dulu ke kawan-kawan masa nak isi? --Takkan nak ikut kawan-kawan.
Pastu study macam mana? --Ok je.Lepas 3.0 pointer.
Kerja nanti? --Bukan dalam zoo je kerjanya.
Nak kerja apa?? --Bidang lain pon boleh,sains kan luas bidang pemikirannya.

Aku mengaku di sini, aku tak minat sangat Zoologi.Menarik tapi tak kena dengan minat aku yang sebenarnya.Nampak haiwan-haiwan je, mula terfikir..Buat sup, letak brokoli ni sedap jugak.Resepi baru ni..

I have a cooking mind!

Sekarang mula terfikir-fikir nak ambil kursus seni kulinari atau penyediaan makanan dan sebagainya..

Ya Allah, berkatilah aku dalam setiap tindakanku.Amin.

Wednesday, March 17, 2010

KLBIF '10 coming soon.

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Pengasihani.

Kedatangan KLBIF '10 pada 19 hingga 21 Mac ini merupakan the first KLBIF yang akan aku jejaki.Insya-Allah, dengan izin-Nya semoga banyak lagi ilmu akan aku dapat dari book fair ini.Agak lama juga aku tidak membeli buku, mungkin kerana tidak menjumpai buku yang berkenan di hati, tidak ada yang menarik atau mungkin aku tidak berusaha mencarinya.

KLBIF kali ini pasti aku akan membawa pulang sejumlah buku untuk dibaca untuk 'lepas gian'.Huhu..

Salah satu yang menjadi 'spot booth' nanti adalah booth Galeri Ilmu untuk meninjau buku-buku daripada penulis muda, Muhammad Hilal Asyraf yang juga penulis blog Langit Ilahi.Kagum juga tatkala aku membaca blog nukilannya, melihat dan menghayati hasil karyanya yang tampak begitu ke depan dari usianya.Bak kata Hilal Asyraf, umur bukan pengukur kematangan seseorang, yang membezakan manusia dengan manusia yang lain adalah ketaqwaannya.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu…” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Maka, tidak salah yang muda memberi pendapat dan betul juga jika yang tua ingin menegur.Justeru, yang muda tidak perlu melatah dengan teguran yang merendah-rendahkan.Mungkin akan terkesan di hati lantas melihatnya sebagai ejekan, tapi kita harus memandang sepositif yang boleh agar walau hati terguris, jangan jiwa menangis.

Dan begitulah juga aku memotivasikan diriku ini.Jangan merendah-rendahkan orang lain dan jangan meninggi-ninggikan diri sendiri.Jika ada kenalan mahupun yang tidak dikenali merendah-rendahkan keperibadian atau tingkahlaku kita, jangan cepat melatah walaupun hati terluka dengan ucapannya.

Ini tidak bermakna aku memendam perasaan, menyimpan rasa benci dan amarah demi niat menjaga hati orang lain.Bagiku, biar aku yang tahu rasanya membimbing diriku sendiri mencapai ketenangan dari perasaan amarah itu.Aku tidak suka menghambur amarahku pada orang lain lantas menyebabkan hati lain pula yang terguris.Dan sesungguhnya aku tidak tahu adakah mudah baginya menyembuhkan hati yang terluka keranaku itu?Atas alasan itulah aku senang menyimpannya di dalam hati dan suatu ketika pasti dengan mudah bagiku menyembuhkannya.

Namun, ini tidak bermakna semua kelukaan dapat disembuhkan.LUKA, di hati mahupun di mana-mana anggota badan sama teori penyembuhannya.Luka kecil singkat masa sembuhnya, luka dalam memerlukan masa yang lama.Sama sahaja.

--Hati yang terluka, tiada ubatnya kecuali berdoa pada yang Maha Esa--